KUALA LUMPUR – Pendidikan prasekolah akan diwajibkan bagi kanak-kanak seawal usia lima tahun sebagai langkah memperkukuh keberhasilan sistem pendidikan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut akan melaksanakan kajian semula bagi menentukan waktu persekolahan paling optimum, menilai keberkesanan sekolah khusus, serta memperbaiki model pendidikan bagi murid pintar cerdas dan berbakat.
“Tumpuan turut diberikan kepada pengukuhan penguasaan bahasa, termasuk menjadikan Bahasa Inggeris sebagai sebahagian daripada bahasa pembelajaran dan perhubungan, manakala pembelajaran bahasa tambahan pula akan diperluaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini. – KOSMO! ONLINE