fbpx
Gambar hiasan

RMK13: Sasar 35 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2030

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia bakal melaksanakan sistem pasaran tenaga elektrik lebih inovatif berasaskan kos sebenar penjanaan, termasuk tenaga boleh baharu (TBB) selaras dengan agenda ekonomi hijau yang menjadi teras pembangunan mampan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, justeru Malaysia menyasarkan peningkatan campuran kapasiti terpasang daripada 29 peratus kepada 35 peratus menjelang 2030.

“Peralihan kepada TBB bukan sahaja meningkatkan kecekapan sistem tenaga negara, malah membuka peluang pelaburan dan pertumbuhan lebih luas,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, rakyat turut digalakkan menjana tenaga hijau melalui Program Community Renewable Energy Aggregation Mechanism (CREAM) di bawah konsep akses grid terbuka.

Menurut Anwar,, pelaksanaan Dana Kemudahan Peralihan Tenaga Negara dan Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat akan mempercepatkan aliran pelaburan sektor swasta ke dalam tenaga hijau, sekali gus memperkukuh rantaian nilai tenaga mampan negara.

Katanya, kerajaan juga akan memperkenalkan sistem simpanan tenaga bateri (BESS), grid pintar serta projek sambungan bekalan elektrik dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi mengoptimumkan integrasi tenaga boleh baharu antara wilayah.

Selain itu, inisiatif solar terapung hibrid hidro dan hab hidrogen hijau di Kenyir akan diperluas sebagai model tenaga hijau bersepadu, manakala tenaga nuklear turut dipertimbangkan sebagai sumber tenaga bersih yang berdaya saing dan selamat.

“Bagi memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga, kerajaan juga akan membangunkan Kompleks Terminal Penggasan Semula Ketiga di Lumut, Perak,” katanya.

Katanya, kerajaan juga komited mempercepat pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) melalui kerjasama kerajaan negeri dan rakan strategik luar negara. Sumber tersebut akan diutamakan untuk kegunaan domestik bagi membangunkan industri pertengahan dan hiliran.

“Usaha ini akan diperkukuh dengan pembangunan bakat, infrastruktur moden, insentif menyeluruh serta pemetaan sumber yang lebih tepat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI