IPOH – Pementasan pantomim Sang Beret Merah yang diadakan sempena sambutan Hari Pahlawan 2025 peringkat negeri Perak mengundang suasana pilu di hati para tetamu yang berada di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Persembahan pantomim tersebut mengisahkan insiden tragis yang meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Sungai Senam dalam nahas jalan raya pada 13 Mei lalu.
Lakonan menyentuh hati daripada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Persatuan Deklamasi Lakon Perak itu dipersembahkan di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Persembahan menyayat hati itu menyaksikan ramai antara tetamu gagal menahan sebak ketika persembahan berlangsung.
Malah rata-rata mereka mengalirkan air mata apabila menyaksikan tayangan montaj yang memaparkan sketsa tugasan FRU selain video pendek sebelum nahas berlaku.
Persembahan pantomim itu diiringi pendeklamasian sajak oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Kebudayaan Negeri Perak, Azmi Ismail bersama Asisten Superintendan Samsudin Hussin dan Sarjan Mejar Detektif Bashira Sharif dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Dalam kejadian pada pukul 9 pagi 13 Mei lalu, kenderaan membawa 18 anggota FRU Unit 5 Sungai Senam dirempuh lori muatan batu yang didakwa mengalami kegagalan fungsi stereng.- KOSMO! ONLINE