KAJANG – Seorang lelaki yang bertindak menghulurkan kaki di bahagian tayar sebuah lori di kawasan lampu isyarat berhampiran Jalan Pekan Bangi Lama, di sini, semalam dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.
Kejadian kira-kira 10.45 pagi itu sempat dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) lori berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang lelaki berusia 33 tahun sekitar pukul 4.48 petang.
Menurutnya, pemandu itu menyatakan bahawa terdapat seorang lelaki tidak dikenali telah menghulur kakinya di bahagian tayar sebelah kanan belakang lori.
“Apabila pengadu turun untuk pemeriksaan, suspek didapati berada di tepi jalan bersama motosikal miliknya dan dipercayai dalam keadaan khayal.
“Suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 43 tahun kini berada di hospital untuk rawatan lanjut dan masih berada dalam keadaan khayal dipercayai akibat pengaruh dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Naazron berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai 19 rekod kes dadah dan dua kes jenayah lampau.
“Tangkapan akan dibuat apabila prosedur rawatan terhadap suspek selesai dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Muhammad Nazirulzahin Mohd. Hashim di talian 017-8881475,” ujarnya.
Terdahulu, tular satu klip video memaparkan seorang penunggang motosikal menghulur kaki secara sengaja di bawah tayar sebuah lori. – KOSMO! ONLINE