BANDAR RAYA HO CHI MINH – Sebuah kondominium di Bandar Raya Ho Chi Minh melarang kenderaan elektrik diletakkan di ruang bawah tanah hartanah tersebut, lapor portal berita tuoi tre news hari ini.
Lembaga pengurusan kondominium Tan Phuoc mengeluarkan notis pada 23 Julai lalu, mengarahkan pengendali tempat letak kereta untuk tidak menerima basikal elektrik, motosikal elektrik atau kereta elektrik di ruang parkir bawah tanahnya.
Lembaga tersebut memetik kebimbangan keselamatan kebakaran yang memiliki kaitan dengan risiko spesifik sistem bateri, akumulator dan amalan pengecasan tidak selamat sebagai sebab larangan itu dikeluarkan.
Penghuni-penghuni kondominium berkata, larangan tersebut menyukarkan kehidupan mereka, terutamanya bagi yang beralih kepada kenderaan elektrik.
“Saya beli motosikal elektrik secara sah dan lengkap dengan insurans. Sekarang saya diberitahu saya dilarang meletakkan kenderaan ini di bangunan tempat saya tinggal,” kata seorang penghuni, Hoang Minh.
Pengkritik-pengkritik berkata, larangan itu bercanggah dengan usaha pemerintah untuk mengurangkan pelepasan karbon dengan menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik. – AGENSI