fbpx
Mustapha dan Zara Qairina (gambar kecil).

Kematian Zara Qairina: Tuduhan cuba kaitkan saya, isteri adalah tidak berasas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang cuba mengaitkan isterinya dalam kes kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir baru-baru ini.

Beliau berkata, tuduhan yang dilemparkan oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan adalah tidak berasas dan tidak mencerminkan akhlak sebagai seorang Muslim.

Katanya, ia bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah mencemarkan reputasi individu yang tidak lagi terlibat dalam perkhidmatan awam.

“Untuk makluman isteri saya, Cikgu Rosnih Nasir merupakan bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan, Papar.

“Beliau berkhidmat di sekolah tersebut dari 20 Mac hingga 22 November 2024 sebelum bersara sepenuhnya daripada perkhidmatan pendidikan.

“Selepas persaraan tersebut, beliau tidak mempunyai sebarang keterlibatan dalam urusan pentadbiran atau pengurusan sekolah sama ada secara langsung mahupun tidak langsung,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut Ahli Parlimen Sepanggar itu, insiden tragis yang menimpa Allahyarham Zara Qairina berlaku pada 16 hingga 17 Julai lalu, hampir lapan bulan selepas persaraan isterinya.

Tegasnya, sebarang cubaan untuk mengaitkan isterinya dengan insiden tersebut adalah fitnah semata-mata dan satu bentuk manipulasi politik yang tidak berasas.

“Saya dan keluarga menyeru semua pihak agar mengamalkan prinsip tabayyun, menyelidik sebelum menuduh dalam menyampaikan sebarang kenyataan.

“Hentikanlah eksploitasi terhadap tragedi ini sebagai modal politik. Hormatilah proses siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan hentikan penyebaran fitnah yang boleh menjejaskan reputasi serta emosi individu yang tidak bersalah”, katanya.

Dalam pada itu, Mustapha turut merakamkan ucapan takziah yang setulusnya kepada keluarga Allahyarham Zara Qairina.

Beliau sekeluarga mendoakan agar mereka dikurniakan kekuatan menghadapi ujian ini dan semoga keadilan dapat ditegakkan dengan sebaik-baiknya buat arwah.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah di Papar yang dipercayai menjadi mangsa buli meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga sekolah tersebut.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI