fbpx
Kebakaran hutan di Mukah yang merebak seluas 75.32 hektar.

Kemarau: Lebih 15,000 keluarga terjejas bekalan air bersih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUCHING – Lebih 15,000 keluarga di seluruh Sarawak kini berdepan masalah bekalan air bersih ekoran musim kemarau yang melanda sejak beberapa minggu lalu.

Timbalan Premier merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kebanyakan penduduk yang terjejas adalah di wilayah utara.

“Tadi kita dapat 675 permohonan air minum dari seluruh Sarawak, melibatkan lebih 15,000 keluarga dan paling banyak di Miri,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat JPBN Sarawak di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan laporan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), setakat ini bekalan air di loji-loji rawatan air seluruh Sarawak adalah mencukupi melainkan di Gelugus, Limbang yang kini rendah.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak telah memberikan sebanyak 12 lori tangki kepada JBALB untuk membekalkan air ke kawasan-kawasan yang terjejas di seluruh negeri.

Sementara itu, Uggah berkata Kerajaan Sarawak ketika ini tidak dapat melakukan pembenihan awan bagi menangani musim kemarau dan jerebu yang sedang melanda, disebabkan ketiadaan awan.

Dalam pada itu, Uggah berkata sebanyak 220 titik panas dikesan di Sarawak pada masa ini namun Indeks Pencemaran Udara (IPU) masih pada paras sihat, melainkan di Mukah yang mencecah IPU 160 disebabkan kebakaran hutan yang sedang berlaku di situ.

Menurutnya selain di Mukah, kebakaran akibat cuaca panas turut berlaku di beberapa kawasan namun semuanya adalah terkawal, dengan usaha pemadaman sedang giat dijalankan oleh bomba.

Berdasarkan laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, setakat ini terdapat empat kebakaran terbuka yang masih berterusan di beberapa lokasi di Sarawak iaitu di Mukah, Marudi, Kota Samarahan dan Serian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI