LONDON – Penggempur Newcastle United, Alexander Isak dilapor sudah mencapai persetujuan peribadi dengan Liverpool untuk berhijrah ke Anfield pada jendela perpindahan kali ini.
Penyerang berusia 25 tahun itu dilapor sudah bersedia untuk meninggalkan St. James Park selepas ditawarkan kontrak selama lima tahun untuk menyertai Liverpool.
Isak memperoleh pendapatan mingguan sebanyak £130,000 (RM734,074) di Newcastle dan ejennya ketika ini sedang berusaha untuk mendapatkan tawaran lumayan dari Liverpool dengan anggaran gaji £300,000 (RM1.7 juta).
Berdasarkan laporan, Liverpool tidak mempunyai masalah untuk memenuhi kehendak Isak, namun halangan ketika ini adalah rundingan mengenai nilai perpindahan yang diinginkan oleh Newcastle yang tidak akan melepaskannya dengan nilai yang murah.
Pihak pengurusan Newcastle dilapor meletakkan tanda harga sebanyak £150 juta (RM847 juta) untuk bersedia melepaskan khidmatnya, tetapi Liverpool percaya mereka mampu mendapatkan khidmat Isak pada harga £120 juta (RM677.60 juta).
Wakil kedua-dua kelab itu dilapor mengadakan pertemuan untuk rundingan berkenaan dalam tempoh terdekat dan Isak juga sudah diketepikan daripada aksi pramusim bersama Newcastle ekoran spekulasi tersebut.
Liverpool semakin hampir untuk mendapat dana tambahan menerusi penjualan pemain sayap mereka, Luis Diaz ke Bayern Munich dengan nilai £65 juta (RM367.04 juta) yang akan digunakan untuk mendanai perpindahan Isak. – AGENSI