HONG KONG – Jaringan jarak jauh Pape Matar Sarr di penghujung babak pertama merentap ego Arsenal untuk membantu Tottenham Hotspur meraih kemenangan 1-0 pada aksi persahabatan di Stadium Kai Tak, sebentar tadi.
Tekanan yang diberikan pemain Spurs membuka ruang buat Sarr melepaskan sepakan dari kawasan tengah padang untuk menghukum kesilapan penjaga gol The Gunners, David Raya yang sudah pun keluar daripada kawasan kotak penalti.
Perlawanan ini juga menyaksikan Viktor Gyokeres memperoleh debut bersama Arsenal dimana pengurus pasukan, Mikel Arteta memasukkannya pada tempoh 13 minit terakhir.
Gyokeres berjaya mencipta beberapa larian berkualiti namun dilihat masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri bagi memenuhi harapan besar memandangkan penyerang Sweden itu bawa tanggungjawab besar selaku pewaris nombor 14 yang pernah dipakai oleh legenda kelab, Thierry Henry.
Selepas ini Spurs akan terbang ke Korea Selatan untuk berdepan Newcastle United manakala Arsenal yang sudah pun harungi tiga perlawanan di Asia akan kembali ke London.
Terdahulu, Arsenal memulakan perlawanan dengan agak positif tetapi Spurs juga beberapa kali dihimpit kecewa selepas ada percubaan dicipta hanya singgah di tiang gol.
Bagaimanapun, usaha keras pengendali baharu Spurs, Thomas Frank memantapkan benteng pasukan mula menghadirkan hasil, menyaksikan Arsenal makin sukar untuk menembusi pertahanan lawan sehingga tamat perlawanan. – KOSMO! ONLINE