MARANELLO – Prinsipal Ferrari, Frederic Vasseur menegaskan tiada lagi pakej naik taraf besar yang akan diperkenalkan untuk baki musim Formula Satu (F1) 2025 selepas Grand Prix (GP) Belgium.
Ferrari baru-baru ini melancarkan sistem suspensi belakang baharu di Spa-Francorchamps, namun masih gagal mencabar dominasi McLaren.
Pelumbanya, Charles Leclerc menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, menewaskan Max Verstappen dan meraih podium kelimanya musim ini, namun tetap ketinggalan lebih 20 saat di belakang pendahulu.
Cuma, apa yang positif adalah Leclerc hanya kehilangan kira-kira lima saat kepada Oscar Piastri ketika menggunakan tayar medium sekali gus menunjukkan peningkatan prestasi SF-25.
Bagaimanapun, Vasseur menjelaskan tumpuan kini beralih kepada musim depan dan sebarang naik taraf selepas ini hanya melibatkan pakej kecil dan disesuaikan mengikut corak litar serta cuaca.
“Kami semua dalam situasi yang sama. Lagi dekat dengan penamat musim, lagi kuat tumpuan terhadap tahun depan. Kami akan bawa beberapa elemen kecil, tapi bukan pakej besar,” kata Vasseur.
Tambahnya, keputusan memperkenalkan suspensi baharu pada hujung minggu sprint di Spa adalah tepat meskipun mereka tidak dapat mengoptimumkan sepenuhnya prestasi jentera itu.
“Ia bukan mudah bila hanya ada satu sesi latihan. Tapi, ini persiapan terbaik untuk minggu depan. Kami akan cuba susun segalanya lebih awal supaya lebih kompetitif,” ujar Vasseur.
Ferrari dijangka menguji keserasian suspensi baharu mereka di GP Hungary hujung minggu ini iaitu litar teknikal dengan banyak selekoh perlahan yang lebih mencabar jentera. – AGENSI