CHICAGO – Pengurus Everton, David Moyes memberi bayangan The Toffees akan terus bergelut dalam zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tidak berbelanja besar pada jendela perpindahan kali ini.
Sebagai rekod, Everton yang merupakan nama besar dalam arena EPL telah bergelut menamatkan saingan di kedudukan ke-16, ke-17 dan ke-15 pada musim 2021 hingga 2024 sebelum Moyes membantu pasukan berada di posisi ke-13 musim lepas.
Namun, Moyes mengakui situasi pasukan ketika ini makin mencabar apabila gagal menarik minat pemain-pemain berkualiti selepas hanya mendapatkan penyerang Thierno Barry daripada kelab Villarreal dan tonggak muda, Adam Aznou (Bayern Munich) baru-baru ini.
“Saya rasa kita sudah kesuntukan masa untuk memperkuatkan pasukan. Ini adalah fakta yang harus diterima kerana kali ini kita tidak berjaya menarik minat pemain bertaraf bintang.
“Secara jujur, saya agak terkejut kerana Everton adalah pasukan yang memiliki nama gah dan bakal beraksi di stadium baharu bertaraf dunia.
“Namun, situasi berbeza yang berlaku ketika ini dan saya agak risau dengan apa yang bakal diharungi oleh pasukan pada musim baharu nanti kerana kemungkinan besar kita akan bergelut,” katanya. – AGENSI