TAPAH – Dua beradik lelaki warga tempatan masing-masing berumur 45 dan 46 tahun ditahan polis di sebuah rumah lot dua tingkat di sebuah kampung berhampiran Pasar Bidor di sini semalam kerana disyaki memiliki sepucuk pistol bersama peluru.
Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Johari Yahya berkata, kira-kira pukul 9.20 malam semalam pihaknya telah menerima satu panggilan telefon memaklumkan telah terdengar bunyi letupan di lokasi tersebut.
Katanya, bertindak atas maklumat tersebut, polis ke lokasi kejadian dengan segera untuk siasatan lanjut.
“Polis telah menjumpai sepucuk pistol revolver .38, empat butir peluru hidup serta satu butir kelongsong di dalam silinder peluru (chamber) di bawah tilam.
“Terdapat kesan serpihan selak peluru di ruang tamu bahagian atas dan bawah di dalam rumah tersebut akibat tembakan,” katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, tangkapan dilakukan terhadap dua suspek iaitu adik beradik lelaki masing-masing berumur 45 dan 46 tahun yang berada di rumah itu bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua suspek mempunyai enam rekod jenayah dan empat rekod berkaitan kesalahan narkotik.
“Kedua-dua mereka telah dibawa ke Mahkamah Majistret Tapah dan dibenarkan tahanan reman bermula hari ini sehingga 6 Ogos depan,” katanya.
Ujarnya lagi, hasil ujian urin mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Kes telah disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nurfarah Idayu Mazlan di talian 05-4011 222,” katanya. – KOSMO! ONLINE