KUALA LUMPUR – Penempatan guru baharu menerusi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dijangka dilaksanakan September ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah tersebut bagi mengisik kekosongan jawatan guru di sekolah, namun pelaksanaannya akan dilakukan menerima senarai calon yang telah diperaku oleh suruhanjaya perkhidmatan pendidikan.
Menurut Fadhlina, seramai 5,256 orang dan semua graduan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) lepasan PISMP telah berjaya diberikan penempatan ke seluruh negara pada 30 September 2024.
“Bagi tahun 2025, penempatan guru baharu PISMP dijangka akan dilaksanakan pada bulan September dan tertakluk kepada keputusan temu duga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) yang meminta menyatakan setakat mana peratusan siswa lepasan IPG dapat penempatan yang mereka mohon dan apakah ukuran yang diambil kira dalam proses penempatan mereka.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, dalam menguruskan penempatan guru baharu ia perlu mengikut keutamaan pendidikan dan beberapa segmen khusus yang menjadi keutamaan KPM agar memenuhi aspirasi keutamaan pendidikan.
“Penempatan guru baharu ditentukan berdasarkan beberapa faktor termasuk pilihan negeri yang dikemukakan semasa proses pengemaskinian maklumat diri.
“Penempatan mengikut lokaliti khususnya bagi calon dari Sabah dan Sarawak serta calon Orang Asli bagi membolehkan mereka berkhidmat berhampiran dengan kampung halaman dan menyokong pembangunan pendidikan luar bandar.
“Keputusan akhir penempatan adalah bergantung sepenuhnya kepada kekosongan jawatan sebenar serta keperluan opsyen semasa mengikut keutamaan pendidikan,” katanya.-KOSMO! ONLINE