PHNOM PENH – Sebuah video tular di media sosial memaparkan aksi sebilangan pawang Kemboja melakukan ritual yang menyasarkan komando tentera Thailand ketika pertempuran antara kedua-dua negara berterusan minggu lalu, lapor akhbar Bangkok Post semalam.
Dalam video tersebut, kumpulan pawang itu melakukan ritual di hadapan gambar Komander Wilayah Tentera Kedua Thailand, Leftenan Jeneral Boonsin Padklang.
Mereka melakukan ritual sambil menyeru kematian ke atas Boonsin.
Kumpulan itu kemudian secara bergilir-gilir melakukan pelbagai perkara simbolik kematian termasuk membakar gambar Boonsin.
Sementara itu, jeneral tersebut dalam satu kenyataan Isnin lalu memberi jaminan kepada orang ramai bahawa dia masih hidup selepas terdapat laporan yang menyebut tentang kematiannya.
Boonsin berkata, laporan itu adalah berita palsu, malah beliau memberitahu bahawa dirinya sihat dan kuat, serta berada di barisan hadapan pertempuran. – AGENSI