fbpx
BANDAR Severo-Kurilsk di Pulau Paramushir, dalam Kepulauan Kuril, Russia dilanda tsunami semalam. – AFP

Amaran tsunami dibatalkan, berjuta-juta penduduk pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

QUITO – Amaran tsunami di seluruh kawasan Lingkaran Pasifik ditarik balik semalam, membolehkan berjuta-juta penduduk yang berpindah kembali ke rumah masing-masing.

Selepas gempa bumi paling kuat pernah direkodkan menggegarkan rantau Timur Jauh Russia, lebih 12 negara – dari Jepun hingga ke Ecuador-  memberi amaran kepada rakyat masing-masing untuk menjauhi pantai.

Peningkatan paras laut setinggi 4  meter dijangka di beberapa kawasan rantau Pasifik selepas gempa bumi 8.8 magnitud menggegarkan Semenanjung Kamchatka di Russia.

Tsunami yang menyusul menyebabkan gangguan meluas. Peru menutup 65 daripada 121 pelabuhan di sebelah Lautan Pasifik, manakala pihak berkuasa Maui membatalkan penerbangan pergi balik dari Pulau Hawaii.

Bagaimanapun, kebimbangan bencana dahsyat tidak menjadi kenyataan, dengan negara demi negara menarik balik atau menurunkan amaran tsunami sebelum memberitahu penduduk mereka boleh pulang ke rumah.

Di Jepun, hampir dua juta orang diarah berpindah ke kawasan lebih tinggi sebelum amaran tsunami diturunkan atau dibatalkan.

Loji nuklear Fukushima di timur laut Jepun yang musnah akibat gempa bumi dan tsunami besar pada tahun 2011 turut dikosongkan buat sementara waktu.

Satu-satunya kematian dilaporkan di Jepun ialah seorang wanita yang  terbunuh selepas kereta dipandunya jatuh dari sebuah tebing ketika dia cuba melarikan diri, lapor media tempatan.

Di Chile, pihak berkuasa melakukan pemindahan paling besar pernah dilakukan dengan 1.4 juta orang diarahkan ke kawasan tinggi.

Pihak berkuasa Chile melaporkan tiada kerosakan atau kemalangan jiwa berlaku, manakala gelombang tsunami yang melanda hanya setinggi 60 sentimeter.

Di Kepulauan Galapagos di mana  gelombang setinggi  3 meter dijangka, terdapat kelegaan apabila institut oseanografi tentera laut Ecuador mengatakan,  tempoh bahaya telah berlalu.

Penduduk tempatan sebelum itu melaporkan paras laut menurun dan kemudian naik secara tiba-tiba, fenomena biasa dilihat menjelang ketibaan tsunami.

Hanya gelombang tinggi sedikit daripada  1  meter dilaporkan dan tidak menyebabkan kerosakan.

“Semuanya tenang, saya akan kembali bekerja. Restoran-restoran dibuka semula dan tempat-tempat  kunjungan pelancong juga dibuka semula,” kata penduduk Santa Cruz berusia 38 tahun, Isabel Grijalva.

Kerosakan paling buruk hanya berlaku di Russia, di mana tsunami melanda pelabuhan Severo-Kurilsk dan menenggelamkan kilang memproses ikan, kata beberapa pegawai.

Gempa bumi  semalam adalah yang paling kuat melanda Semenanjung Kamchatka sejak 1952, kata perkhidmatan pemantauan seismik serantau. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI