SUBANG JAYA – Misteri penemuan mayat seorang wanita tempatan di Sungai Klang, kelmarin terjawab apabila hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang unsur jenayah mahupun kesan pergelutan pada tubuh mangsa.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, bedah siasat terhadap mangsa berusia 23 tahun itu dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang pada pukul 8 pagi semalam.
“Pemeriksaan awal mendapati tiada tanda-tanda pergaduhan atau perbuatan jenayah pada tubuh mangsa. Bagaimanapun, laporan penuh bedah siasat masih belum diperoleh kerana masih menunggu keputusan makmal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil semakan lanjut mendapati mangsa merupakan seorang penuntut kolej swasta yang sebelum ini dilaporkan hilang oleh kakaknya pada 26 Julai lalu.
“Pengadu memaklumkan adiknya ada meminta dijemput di Stesen LRT Putra Heights pada pukul 12 tengah hari, 25 Julai lalu.
“Namun, dia gagal dihubungi sehingga keesokan harinya sebelum laporan polis dibuat,” katanya.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut menemui satu anak kunci di poket seluar mangsa.
Susulan itu, polis melakukan pemeriksaan di rumah yang dipercayai didiami mangsa di kawasan Jalan Klang Lama.
“Hasil semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa berada di kawasan tersebut sebelum dilaporkan hilang.
“Waris juga telah dipanggil untuk membuat pengecaman dan mengesahkan pakaian yang dipakai adalah milik mangsa.
“Cap jari mangsa telah dihantar ke pihak berkenaan untuk pengesahan identiti sebelum diserah pada waris,” jelasnya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE