PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo mengesahkan tiada laporan rakyat Malaysia yang terjejas susulan amaran tsunami dikeluarkan Agensi Meteorologi Jepun, awal pagi tadi.
Bagaimanapun, pihak berkenaan memantau rapat situasi itu selepas amaran tersebut dikeluarkan ekoran gempa bumi kuat berukuran 8.0 pada skala Richter melanda kawasan berhampiran Semenanjung Kamchatka, Rusia kira-kira pukul 8.25 pagi waktu tempatan.
Katanya, gelombang tsunami setinggi antara satu hingga tiga meter dijangka melanda beberapa kawasan pantai yang menghadap Lautan Pasifik.
Katanya, ia termasuk timur Hokkaido, Semenanjung Boso, Kepulauan Ogasawara, sebahagian wilayah Shizuoka, Semenanjung Kii serta Prefektur Miyazaki.
“Semua rakyat Malaysia yang menetap atau berada di kawasan terjejas dinasihatkan agar berwaspada, mengikuti arahan keselamatan daripada pihak berkuasa tempatan serta mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi dari semasa ke semasa.
“Warga Malaysia turut digalakkan untuk mendaftar dengan Kedutaan dan kekal berhubung bagi memastikan bantuan sewajarnya dapat diberikan dengan segera jika diperlukan,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular diminta menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo melalui talian +81 3 3476 3840 atau nombor kecemasan +81 80 4322 3366. Pertanyaan juga boleh dikemukakan menerusi e-mel di alamat: [email protected] atau [email protected].
Kementerian Luar Negeri memberi jaminan bahawa mereka akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kebajikan semua rakyat Malaysia di Jepun terpelihara.
Gempa bumi kuat yang berlaku berhampiran Kamchatka pada pagi ini turut dirasai di beberapa wilayah di timur Jepun.
Menurut laporan media antarabangsa, sistem amaran awal tsunami Jepun telah diaktifkan sejurus selepas gempa dikesan.
Pihak berkuasa Jepun turut mengarahkan pemindahan sementara penduduk di beberapa kawasan rendah sebagai langkah berjaga-jaga.
Walaupun Jepun merupakan antara negara yang paling bersedia dari segi pengurusan bencana, ancaman tsunami tetap diambil serius memandangkan sejarah tragedi besar yang pernah melanda negara itu, termasuk bencana tsunami 2011 yang mengorbankan lebih 15,000 nyawa. – KOSMO! ONLINE