fbpx
VERSTAPPEN berjaya meraih tempat ketiga pada perlumbaan GP Belgium di Litar Spa Francorchamps kelmarin. - AFP

Tempoh klausa keluar Verstappen luput

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SPIELBERG – Spekulasi mengenai masa depan Max Verstappen akhirnya terjawab apabila Red Bull mengesahkan juara dunia empat kali itu akan kekal bersama pasukan sehingga musim depan.

Menurut Penasihat Kanan Red Bull, Helmut Marko, klausa khas dalam kontrak Verstappen yang membenarkan pelumba itu keluar awal kini tidak lagi terpakai selepas perlumbaan Grand Prix (GP) Belgium minggu lalu.

Klausa tersebut hanya boleh diaktifkan jika Verstappen berada di luar tiga teratas dalam kedudukan kejuaraan dunia ketika rehat musim panas, namun pelumba Belanda itu kini mendahului George Russell dengan kelebihan 28 mata di tempat keempat.

“Ya, saya sahkan Max Verstappen akan terus memandu untuk Red Bull pada musim 2026,” kata Marko sekali gus menamatkan spekulasi perpindahan ke Mercedes yang hangat diperkatakan sejak awal musim.

Kontrak Verstappen bersama Red Bull sebenarnya sah sehingga 2028, namun peralihan kepada era baharu peraturan enjin musim depan menimbulkan persoalan sama ada dia akan kekal sekiranya prestasi jentera tidak memuaskan.

Verstappen sebelum ini dilaporkan mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff, namun peluang itu tertutup sekurang-kurangnya hingga 2027 selepas klausa keluar tersebut luput.

Wolff sendiri memberi bayangan ingin mengekalkan George Russell dan bakat muda, Kimi Antonelli untuk musim depan, menjadikan sebarang perpindahan awal Verstappen ke Brackley hampir mustahil.

Difahamkan, terdapat satu lagi klausa yang boleh diaktifkan musim panas tahun depan jika Verstappen berada di luar dua teratas kejuaraan, membolehkannya mencari pasukan baharu sekiranya Red Bull gagal membina jentera kompetitif dalam era enjin baharu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI