KUALA LUMPUR – Pempengaruh dan usahawan kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri mengakui terkesan dengan perlakuan melampau selebriti Diva AA yang memijak beg keluaran jenamanya.
Menurut Aliff atau nama lengkapnya Aliff Syukri Kamarzaman, 38, dia menyifatkan perbuatan tersebut tidak wajar selain menyarankan selebriti terbabit untuk bersemuka sekiranya timbul sebarang perasaan tak puas hati.
“Jujur ini bukan gimik. Saya nak buat Malaysian Book Of Record, badan pula tak sihat dan anak-anak pun sama.
“Tidak tahu nak cakap macam mana, tapi saya cuba stabilkan diri. Tengok Diva AA pijak beg, janganlah macam itu.
“Kita bukan nak cari duit haram. Kalau tak suka dekat saya, bersemuka, ini cakap saya menipu, scammer tak seronoklah,” katanya kepada Kosmo! Online pada kempen Malaysian Book Of Record jualan beg terpantas bagi jualan siaran langsung.
Meskipun bengang dengan perbuatan selebriti berkenaan, Aliff bagaimanapun enggan ambil tindakan tegas ke muka pengadilan.
“Aku boleh maki tapi kalau buat sama-sama naik saja. Aku tak maafkan, sampai mati aku cari kau.
“Aku tak nak saman kau sebab kau tiada duit. Dia acah-acah saja, tak suka jangan pijak saya dah la sakit.
“Ini kata keturunan saya tak elok pula. Macamlah keturunan dia elok ke,” tegasnya.
Bercakap mengenai keadaan kesihatan, bapa kepada enam orang itu mendedahkan terpaksa mengambil beberapa suntikan selepas keseluruhan badannya mengalami simptom yang luar biasa.
“Ada orang kata saya kena jilat jin, tapi tak tahu waktu buat siaran langsung badan saya menggeletar.
“Bila berniaga macam-macam orang kata, ada orang buat. Badan saya keseluruhan ada tompok-tompok.
“Tak boleh bangun tidur, isteri saya bawa pergi klinik semalam dan kena cucuk dua kali,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE