JOHOR BAHRU – Suasana pilu dirasakan di kediaman nenek kepada mendiang A. Tishant, 6, yang dipercayai dijerut sehingga mati sebelum ditimbus dengan tanah di Rompin, Jempol, beberapa hari lalu.
Kediaman tersebut mula dikunjungi ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat yang mahu memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang dan keluarganya.
Upacara keagamaan itu dimulakan seawal pukul 8 pagi, sebelum jasad mendiang dijangka dibawa ke krematorium hindu di Jalan Kebun Teh, di sini bagi upacara pembakaran mayat.
Sebahagian pengunjung yang hadir turut dilihat membawa jambangan bunga untuk dihadiahkan kepada mendiang.
Kenderaan mayat yang membawa jasad Tishant untuk dihantar ke lokasi krematorium dilihat meninggalkan pekarangan kediaman keluarga itu pada pukul 10.42 pagi.
Pada 24 Julai lalu, kanak-kanak tersebut dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor.
Polis bagaimanapun menjumpai mayat kanak-kanak berkenaan yang telah ditanam di kawasan Rompin, Jempol empat hari kemudian. – KOSMO! ONLINE