MELAKA – Hasrat seorang suami ingin menunaikan keinginan isterinya yang hamil menikmati makanan segera tidak kesampaian apabila motosikal kapcai ditunggang mereka ditahan dalam sekatan jalan raya di Batu Berendam, di sini malam tadi.
Dalam operasi bermula pukul 8 malam sehingga 12 tengah malam itu, pasangan berusia 30-an terbabit dikesan melakukan beberapa kesalahan termasuk penunggang tiada lesen, motosikal tidak memiliki cukai jalan dan sistem lampu brek serta isyarat rosak.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, dua saman telah dikeluarkan terhadap pasangan itu mengikut peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“Pasangan suami isteri ini ditahan ketika sekatan jalan raya bersepadu malam tadi kerana motosikal yang ditunggang langsung tidak memenuhi syarat sah untuk berada di atas jalan raya.
“Malah, lampu brek dan lampu signal motosikal itu juga tidak berfungsi, yang sekali gus membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengetuai operasi bersepadu di Batu Berendam di sini.
Tambahnya, hasil soal siasat penunggang mendakwa isterinya sedang hamil dan mereka dalam perjalanan ke sebuah restoran makanan segera susulan wanita tersebut teringin menikmati juadah berkenaan.
Mengulas lanjut beliau berkata, sepanjang operasi itu dijalankan sebanyak 745 kenderaan telah diperiksa dan 197 kesalahan pelbagai dicatatkan. – KOSMO! ONLINE