MOSCOW – Pihak berkuasa Semenanjung Kamchatka di Timur Jauh Russia mengumumkan bahawa amaran tsunami telah ditarik balik, lebih 11 jam selepas gempa bumi berukuran 8.8 magnitud berhampiran pantai rantau itu menyebabkan pemindahan besar-besaran.
“Penduduk dan pengunjung yang dihormati di wilayah Kamchatka, rakan sekerja kami dari Kementerian Situasi Kecemasan Negeri telah menarik balik amaran tsunami,” kata Menteri Kecemasan wilayah itu, Sergei Lebedev di media sosial.
Di Jepun, agensi cuaca negara itu pada petang ini menurunkan amaran tsunami yang dikeluarkan untuk sebahagian kawasan, namun mengekalkan amaran untuk kawasan utaranya.
“Amaran untuk wilayah Ibaraki di timur Jepun sehingga ke wilayah selatan Wakayama kini telah diturunkan kepada ‘nasihat,” kata agensi cuaca Jepun di laman webnya.
Di Amerika Syarikat, Hawaii County menarik balik perintah pemindahan dan menurunkan tahap amaran tsunami kepada ‘nasihat’, kata pihak berkuasa.
“Pemindahan ditarik balik. Hawaii membatalkan perintah pemindahan untuk zon banjir pantai,” kata Agensi Pertahanan Awam Hawaii County di platform X. – AFP