PARIS – Kejayaan Tadej Pogacar menjuarai Tour de France (TdF) 2025 buat kali keempat bukan sekadar bukti kehebatannya sebagai pelumba tetapi turut mendedahkan peranan besar dimainkan oleh ketua jurulatih pasukannya, Dr. Jeroen Swart.
Jurulatih dari Afrika Selatan itu menjadi penganalisis kepada prestasi konsisten bintang UAE Team Emirates tersebut yang kini hanya satu gelaran lagi untuk menyamai rekod legenda lima kejuaraan.
“Kami sangat bertuah memiliki Tadej. Dia bukan sahaja berbakat luar biasa secara fizikal, tetapi juga sangat kuat dari segi mental dan emosi,” kata Swart.
Beliau menyifatkan Pogacar sebagai pelumba yang merendah diri, berdisiplin dan sentiasa mendahulukan pasukan.
“Dia bukan jenis yang minta layanan istimewa. Jika kami berikan dia kerangka basikal yang lebih ringan, soalan pertama adalah ‘bila rakan-rakan saya akan dapat yang sama?’. Itu contoh kepimpinan yang mengangkat semangat seluruh pasukan,” jelasnya.
Swart turut mendedahkan aspek sains sukan moden menjadi tulang belakang kejayaan Pogacar sepanjang tiga minggu perlumbaan paling mencabar di dunia itu.
“Kini kami tahu tubuh pelumba mampu menyerap sehingga 110 gram (g) gula sejam, berbanding hanya 80g beberapa tahun lalu. Perkara seperti ini beri kelebihan besar, terutamanya pada pendakian akhir,” tambahnya lagi.
Pogacar berjaya menewaskan pencabarnya, Jonas Vingegaard dan turut menggondol jersi polka dot selaku pendaki terbaik, satu lagi pencapaian berganda yang jarang disaksikan.
Pleumba itu turut mencatat sejarah sebagai juara dunia pertama sejak 1990 memenangi TdF dalam musim sama, menjadikan pencapaiannya tahun ini paling lengkap dalam era moden.
Bagaimanapun, Swart tetap realistik selain mengakui prestasi pelumba elit masa kini semakin hampir menyentuh batas kemampuan manusia.
“Kita mungkin sudah sampai ke tahap maksimum dari segi fisiologi. Tapi selagi ada pendekatan baharu, ruang penambahbaikan tetap wujud,” kata jurulatih itu. – AGENSI