SEREMBAN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan seorang pesara polis berpangkat sarjan mejar membela diri atas tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 573.6 gram (g), tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Rohani Ismail memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Aminuddin Amir, 66, di akhir kes pendakwaan.
Rohani berkata, keputusan itu dibuat selepas mendengar keterangan saksi pendakwaan dan hujahan yang dikemukakan kedua-dua belah pihak berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap kesemua keterangan pihak pendakwaan.
“Saya berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen pemilikan dadah oleh tertuduh berdasarkan anggapan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala elemen pengedaran pula dibuktikan berdasarkan takrifan Seksyen 39B(2) akta sama iaitu menyimpan dan memiliki.
“Justeru, berdasarkan Seksyen 180 Kanun Tatacara Jenayah tertuduh dipanggil untuk membela diri,” katanya pada prosiding hari ini.
Mengikut pertuduhan, Aminuddin didakwa mengedar kanabis seberat 573.6g di pondok belakang rumah di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Jempol pada 14 September 2022.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati. – KOSMO! ONLINE