fbpx
Jeevananthan (kiri) di tuduh memberi rasuah sebanyak RM 2,000 dI Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. Foto oleh BAAZLAN IBRAHIM/ KOSMO!

Pemilik syarikat didakwa cuba rasuah polis RM2,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Seorang pekerja ladang kelapa sawit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM2,000 kepada anggota polis bagi tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pekerjanya yang memiliki dadah, pada November tahun lalu.

Tertuduh, R. Jeevananthan, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memberikan suapan iaitu wang tunai berjumlah RM2,000 kepada anggota polis berpangkat sarjan yang merupakan Penyelia Cawangan Unit Rondaan dan Bermotosikal, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

Ia sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas pekerja wanitanya yang berusia 24 tahun di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan memiliki dadah berbahaya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 12.50 tengah malam di Kilometer 14, Jalan Segamat-Kuantan, Segamat pada 8 November 2024.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Faizul Kamarozaman yang mengendalikan kes itu mencadangkan tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K. Bharathi yang mewakili tertuduh kemudian memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diberikan jamin yang minima kerana tertuduh mempunyai anak yang masih kecil.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Tarikh 18 September depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI