KUALA LUMPUR – Seramai 22 individu termasuk dua warga tempatan ditahan dalam Ops Gegar yang dijalankan sepasukan anggota Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur di sebuah pusat spa sekitar Bukit Bintang, di sini hari ini.
Pengarahnya, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, dalam operasi itu, seramai 29 individu diperiksa membabitkan lima lelaki dan empat wanita tempatan.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 22 individu termasuk dua lelaki tempatan dipercayai berperanan sebagai penjaga premis. 20 yang lain merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjalankan aktiviti tidak bermoral dan tiada permit kerja yang sah,” katanya hari ini.
PATI yang ditahan terdiri daripada enam wanita Indonesia, Vietnam (5), Mongolia (1), tiga lelaki dan dua wanita Bangladesh, China (1) serta Afghanistan (2).
Wartawan Kosmo! yang turut menyertai operasi itu mendapati ada dalam kalangan mereka yang ditahan menangis dan merayu kepada pihak berkuasa supaya dibebaskan.
Sebanyak tujuh notis saman turut dikeluarkan kepada pelanggan supaya hadir bagi membantu siasatan di Pejabat JIM Kuala Lumpur.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 bagi kesalahan membabitkan warga asing.
Sementara itu, dua penjaga premis pula disiasat di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 masing-masing bagi kesalahan tinggal lebih masa serta tiada pas atau permit yang sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE