MELAKA – Sepasang kekasih yang juga doktor di Hospital Melaka ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas didapati berkhalwat di sebuah rumah sewa di Taman Semabok Perdana, di sini, petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman ketika dihubungi hari ini mengesahkan tangkapan tersebut.
Katanya, kedua-dua individu berusia 26 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3.40 petang selepas bersembunyi selama hampir 20 minit di dalam rumah yang didakwa disewa bersama dua rakan lelaki lain.
“Pasangan itu yang merupakan doktor di Hospital Melaka ditahan untuk siasatan lanjut dan telah dibawa ke Pejabat JAIM sebelum dilepaskan dengan jaminan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana disyaki berkhalwat dan jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada pemberita hari ini.
Difahamkan ketika serbuan dilakukan, dua penyewa lain didapati tiada di rumah dan hanya pasangan tersebut duduk berdua-duaanya, namun dalam keadaan lengkap berpakaian. – KOSMO! ONLINE