fbpx
Serbuan Op Dadu dilakukan di sebuah premis pejabat mewah di Jalan Kia Peng, di sini semalam.

Op Dadu: Pusat promosi judi online Singa 77 diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket pusat panggilan (call centre) perjudian dalam talian yang beroperasi di sebuah premis pejabat mewah di Jalan Kia Peng, di sini semalam.

Serbuan Op Dadu kira-kira pukul 1 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama IPD Dang Wangi, dengan bantuan pakar judi dan forensik dari Bukit Aman.

Wartawan Kosmo! yang menyertai serbuan mendapati pengawal keselamatan bangunan itu enggan memberi kerjasama pada mulanya dan cuba melengahkan masa pihak berkuasa.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pihaknya menahan seramai 13 individu iaitu dua lelaki warga China, lapan lelaki dan tiga wanita tempatan.

Beliau berkata, kesemua mereka disyaki terbabit dalam kegiatan mempromosikan perjudian dalam talian menggunakan platform Singa 77.

“Pemeriksaan mendapati ada antara suspek turut mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sudah tamat tempoh.

“Turut dirampas dalam operasi ini ialah 14 set komputer, dua komputer riba, dua kad akses, dua modem WiFi, satu penghala (router) dan sebuah mesin tandatangan kehadiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak awal April lalu dengan waktu bekerja antara pukul 11 pagi hingga 8 malam setiap hari.

“Mereka menerima gaji antara RM3,000 hingga RM4,000 dibayar oleh pemilik syarikat yang menyewa premis tersebut,” katanya.

Tambahnya, kegiatan itu menyasarkan pasaran perjudian di Indonesia, manakala premis digunakan sebagai pusat panggilan bagi mempromosikan aktiviti haram berkenaan.

Kesemua tangkapan direman mulai hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI