RIO DE JANEIRO – Penyerang sensasi Santos, Neymar dilaporkan mahu kembali ke Eropah selepas bergaduh dengan kumpulan penyokong pada aksi Liga Brazil bertemu Internacional minggu lalu.
Pada perlawanan itu, penyokong setia Santos mengkritik prestasi Neymar yang dilihat gagal berada pada tahap terbaik sehingga pasukan bergelut di zon penyingkiran dalam saingan liga ketika ini.
Bekas bintang Barcelona itu sudah menyatakan permohonan maaf secara terbuka tetapi masih lagi mempertahankan kelakuannya kerana mendakwa penyokong tiada hak untuk mengejeknya terutama melibatkan keluarga.
“Sukar untuk saya mengawal emosi ketika perlawanan berlangsung dan lebih sedih apabila saya diejek mengenai isu yang tidak adil buat saya.
“Saya tidak pernah menghalang tindakan penyokong tetapi ada ketika mereka melampaui batas. Santos adalah kelab kegemaran dan saya akan berikan segalanya selagi diperlukan di sini,” katanya.
Menurut laporan, Neymar sedia berhijrah kembali ke Eropah dengan kelab berpengaruh Ligue 1, Olympique Marseille dilaporkan cukup berminat untuk mendapatkan khidmatnya dalam masa terdekat.
Malah, bekas penggempur Paris Saint-Germain berusia 34 tahun itu terdesak untuk kembali berada pada tahap terbaik untuk mencerahkan peluang diserap dalam skuad utama Brazil pada kempen Piala Dunia 2026 tahun depan.
Apa yang menjadi penghalang adalah Marseille mahukan perpindahan secara percuma tetapi Neymar ketika ini masih mempunyai kontrak bersama Santos sehingga Disember depan. – AGENSI