PETALING JAYA – Tiada lagi teka-teki, pelakon Siti Saleha akhirnya berkongsi berita gembira bakal dikurniakan cahaya mata sulung apabila mengesahkan dirinya kini sudah berbadan dua.
Begitupun, Siti Saleha atau nama lengkapnya Siti Saleha Mohd Baharum, 35, tidak memperincikan butiran lain perkembangan terbaharu itu termasuk usia kandungan.
“Kami sudah lama menyimpan satu rahsia.
“Josh (suami) makan terlampau banyak dan dia semakin kembung.
“Jadi saya fikir mahu samakan perutnya dengan ‘bump’ saya,” katanya dalam hantaran di laman sosial.
Pengumuman manis yang dikongsikan menerusi video pendek itu menunjukkan Siti Saleha memeluk suaminya, Joshua Fitton, 38, dengan berlatarkan suasana romantis di sebuah pusat peranginan.
Lebih mencuri tumpuan apabila di tangannya terdapat beberapa foto seakan-akan menunjukkan imbasan ultrasound bayi mereka.
Menerusi ruangan komen, ramai peminat dan rakan artis meninggalkan ucapan tahniah kepada pasangkan terbabit.
“Alhamdulillah, tahniah buat anda berdua,” kata pelakon Hanna Delisha.
“Tahniah, masa yang tepat untuk hidup bertiga,” tulis seorang pemilik akaun lain.
Sebelum ini, Siti Saleha memaklumkan belum bersedia mengulas spekulasi kehamilannya selepas tular satu video menunjukkan seakan-akan dia mempunyai ‘baby bump’ ketika mengenakan busana hitam ketika dalam sebuah acara filem.
Begitupun, Bintang Asia Terbaik – Malaysia di Anugerah Drama Antarabangsa Seoul di Korea Selatan tahun lalu itu memberi bayangan hamil kerana bakal bercuti panjang selepas menjayakan penggambaran drama Bad Cop.
Terdahulu, Siti Saleha dan Joshua juga pereka fesyen diijabkabulkan dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang pada Februari lalu. – KOSMO! ONLINE