fbpx
Jiwa Merdeka rakyat Malaysia yang berkobar-kobar memperlihatkan ada antaranya mula mengantung Jalur Gemilang pada kenderaan dan kediaman mereka.

Kibarkan Jalur Gemilang lebih awal, usah ditunggu-tunggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BEBERAPA hari lagi kita bakal masuk bulan Ogos, bulan yang membawa semangat patriotisme. Jiwa Merdeka rakyat Malaysia yang berkobar-kobar memperlihatkan ada antaranya mula mengantung Jalur Gemilang pada kenderaan dan kediaman mereka.

Namun, saban tahun budaya mengantung Jalur Gemilang dilihat semakin berkurang dan hanya tertumpu di sekolah berikutan pelbagai program direncana sempana bulan kebangsaan.

Menurut Pengerusi Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan Dengan Kepujian, Jabatan Tamadun dan Falsafah, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia, Profesor

Madya Dr. Mohamed Ali Haniffa, pendekatan ‘Satu Rakyat, Satu Bendera’ seharusnya diperkasakan agar jiwa patriotik meresap dan terus tersemat dalam hati sanubari setiap rakyat Malaysia.

“Pada saya, sebaiknya, bendera negara perlu dipasang lebih awal sebelum majlis pelancarannya kerana patriotisme bukan agenda bermusim.

“Usah ditunggu arahan dan juga pekeliling yang akan menyusul tidak lama lagi. Jangan juga ditunggu peruntukan tambahan untuk membeli bendera kerana ini merupakan tanggungjawab kita terhadap negara,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, bendera bukanlah sebagai pameran sempena Bulan Kebangsaan, sebaliknya menjadi elemen penting sebagai lambang kepimpinan, simbol penghormatan, martabat dan kewarganegaraan bagi sesebuah negara yang merdeka.

Kongsinya, bulan Ogos perlu dipugar dan dihayati dengan sejarah pengibaran bendera Persekutuan Tanah Melayu secara rasmi pada 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor.

Seiring itu juga berkumandangnya Lagu Negaraku yang buat pertama kali kepada umum.

Usaha memasang bendera juga katanya perlu dilakukan bagi menunjukkan semangat cintakan negara.

“Gunakan kreativiti untuk mempamerkan bendera di tempat-tempat yang dianggap bersesuaian. Mengibarkan bendera adalah satu cara menterjemahkan rasa sayang terhadap tanah air.

“Namun perlu juga dipastikan agar pemasangan bendera tersebut tidak membahayakan keselamatan orang awam di sekeliling seperti pemandu dan pengguna jalan raya,” ujarnya.

Katanya, langkah Kementerian Pendidikan memperkenalkan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid bermula 21 April lalu juga perlu dimartabatkan.

“Walaupun lencana yang tersemat itu kecil, namun pengertiannya besar. Lencana yang tersemat kemas di pakaian seragam menyebabkan jiwa mereka dekat terhadap tanah air,” ujarnya.

Menurut Mohamed Ali, diharapkan setiap rakyat Malaysia dapat mengibarkan Jalur Gemilang mengikut arahan atau panduan yang ditetapkan.

“Ketertiban sebagai lambang kebesaran dan kedaulatan negara perlu dijaga. Kita perlu menjadi suri teladan dalam menunjukkan rasa kebanggaan terhadap bendera negara.

“Kreativiti dan peranan guru yang sentiasa memberi fokus kepada penerapan dan pengamalan berterusan tentang elemen kewarganegaraan dan nilai sivik perlu dilipatgandakan menjelang sambutan bulan kebangsaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN