KUALA TERENGGANU – Ketua jurulatih Kelantan Red Warriors, Irfan Bakti Abu Salim berharap kemelut luar padang melibatkan campur tangan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak berlarutan agar fokus pasukan tidak terganggu.
Irfan berkata, persiapan rapi telah dibuat sejak bulan lalu dan semua sudah bersedia untuk menjadi antara pencabar Liga A1 Semi Pro musim ini.
“Saya harap perkara ini dapat selesai secepatnya kerana kami memang tiada kaitan dengan Kelantan FC sebelum ini,” katanya selepas aksi persahabatan menentang Terengganu FC (TFC) semalam.
Semalam, Liga Bola Sepak Amatur (AFL) mengesahkan aksi melibatkan Kelantan Red Warriors (KRW FC) dalam dua perlawanan Liga A1 Semi-pro yang akan membuka tirainya pada Sabtu ini terpaksa ditangguhkan.
Pengerusi AFL, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, kelonggaran tersebut diberikan kepada skuad KRW FC bagi menyelesaikan isu sekatan pendaftaran pemain yang dikeluarkan oleh FIFA minggu lalu.
Katanya, KRW FC telah disekat daripada mendaftarkan semua pemain sehingga 14 Ogos ini depan sekali gus tidak boleh beraksi pada dua perlawanan awal musim ini membabitkan aksi menentang Selangor FC 2 (4 Ogos) dan kelab Korea Selatan, Seoul Phoenix (10 Ogos). – KOSMO! ONLINE