KUALA LUMPUR – Penganjuran Mega Karnival Dimensi (MK3D) 2025 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), bukan sekadar sebuah karnival, tetapi turut menjadi platform untuk mempromosi pelbagai inisiatif digital Felda.
Menerusi satu kenyataan, Felda berkata, inisiatif yang dibawa Felda pada karnival selama lima hari bermula hari ini termasuklah SmartVillage, e-Kopex, serta integrasi teknologi AI, IoT, dan drone untuk pemantauan ladang.
“Pembangunan aplikasi MyDesaGo pula membuka akses pasaran luar negara melalui padanan digital bersama diaspora Malaysia di luar negara.
“Geran Pengeksport Mikro Felda, Dana Transformasi Digital dan Program Mobiliti Global pula diperkenalkan bagi menggalakkan usahawan Felda memperluas capaian produk ke pentas antarabangsa,”kata Felda dalam satu kenyataan.
Tambah Felda, karnival itu juga menjadi lebih daripada sekadar acara tahunan yang juga adalah simbol gerakan pembaharuan Felda.
Dalam pada itu, Felda memberitahu, pelaksanaan MK3D itu juga mencerminkan kesungguhan agensi itu menyusun semula kekuatan institusi selaras dengan Pelan Strategik Felda 2025–2030.
Malah kata Felda, pelantikan semula Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi Felda turut menandakan kesinambungan pembaharuan struktur pentadbiran dan hala tuju strategik agensi terbabit.
“MK3D bukan sekadar sebuah pesta karnival atau platform pameran produk, tetapi juga merupakan manifestasi komitmen Felda dalam menyusun semula kekuatan institusi dan meningkatkan mutu perkhidmatan korporat untuk menyokong aspirasi nasional.
“Penekanan utama diberikan kepada pemerkasaan peneroka menerusi penstrukturan semula organisasi, peningkatan kecekapan perkhidmatan dan penyesuaian terhadap kehendak teknologi serta komuniti moden,”katanya.-KOSMO! ONLINE