SHAH ALAM – Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan ‘hidup mati’ pasukan Kelantan Red Warrior (KRW FC) bakal diketahui pada 14 Ogos depan selepas keputusan dibuat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut Noor Azman, sama ada KRW FC boleh bersaing atau tidak dalam Liga A1 Semi-pro hanya akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi selepas dua perlawanan awal terpaksa ditangguhkan oleh Liga Bola Sepak Amatur (AFL).
“KRW memang sudah hantar surat maklum balas kepada FIFA mengikut tempoh yang ditetakan dan kita menunggu keputusan daripada FIFA pada 14 Ogos. Keputusan pasukan itu sama ada boleh bertanding (dalam Liga A1) atau tidak adalah 14 Ogos.
“Kalau ikutkan ia ada menjejaskan (imej) kepada kita, tapi benda ini memang kita terpaksa hadapi. Pasukan sepatutnya tahu apa yang mereka nak buat dan menilai serta mengkaji sebelum tandatangan pemain atau sebagainya.
“Ia tak membabitkan kita (FAM), patutnya pasukan yang ditubuhkan mereka harus pastikan bahawa mereka tiada hubungan (dengan pasukan lama),” katanya.
KRW FC sebelum ini mengeluarkan kenyataan sedia untuk bekerjasama dengan pihak FIFA dan FAM bagi menyelesaikan isu tersebut dengan segera. – KOSMO! ONLINE