CANBERRA – Gempa bumi sederhana bermagnitud 4.8 melanda rantau Wheatbelt, negeri Australia Barat semalam, mengakibatkan beratus-ratus kediaman bergegar sepanjang jarak beberapa ratus kilometer.
Bagaimanapun, tiada laporan kerosakan setakat ini.
Gempa itu berlaku sejurus selepas pukul 2 tengah malam (waktu tempatan), kira-kira 30 kilometer ke tenggara Wyalkatchem dan 200 kilometer dari timur laut Perth.
Lebih 500 aduan gegaran diterima di Australia Barat akibat gempa tersebut. Agensi Geosains Australia mengatakan, gempa bumi itu adalah yang terbesar melanda rantau itu sejak kebelakangan ini.
Pakar seismologi kanan Geosains Australia, Trevor Allen berkata, aduan diterima daripada orang awam yang tinggal jauh dari tempat gegaran berlaku.
“Gempa bumi ini dirasai secara meluas di seluruh barat daya Australia Barat termasuk Perth,” katanya.
Menurutnya, ramai orang mungkin merasai gegaran itu tanpa sedar, memandangkan ia berlaku pada waktu malam.
Seorang penduduk Goomalling yang terletak kira-kira 60 kilometer ke barat pusat gempa berkata, gegaran itu mengejutkannya.
“Bunyinya seperti enjin trak dihidupkan,” katanya kepada ABC Radio Perth.
“Saya pergi memeriksa di luar untuk melihat jika ada trak yang lalu. Tetapi tiada apa-apa,” katanya kepada stesen radio tempatan.
Allen berkata, kira-kira 130 gempa bumi telah dikesan di seluruh Wheatbelt sejak Julai tahun lepas.
“Rantau ini agak aktif sejak 12 bulan lalu,” katanya. – AGENSI