KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) merancang untuk membina sebanyak 12,733 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) baharu sehingga tahun 2030.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rancangan itu bagaimanapun tertakluk kepada kepada keupayaan semasa kewangan kerajaan.
Menurut beliau, sejak tahun 2022, sebanyak enam buah Projek Bina Baru RKAT melibatkan 2,812 unit baharu di seluruh negara telah siap dibina.
“Sebanyak 10 Projek Bina Baru RKAT di bawah RMK-12 melibatkan 3,206 unit baharu di seluruh negara sedang dalam proses pembinaan melibatkan kos RM1 bilion dan dijangka siap menjelang tahun 2026.
“Sebanyak lapan projek bina baru RKAT melibatkan 2,456 unit baharu masih dalam fasa perolehan dan melibatkan (kos) RM1.4 bilion,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) berhubung perancangan Mindef bagi menambah baik kemudahan perumahan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, bagi tahun 2025, Mindef diperuntukkan RM426,495,300 bagi kerja-kerja penyelenggaraan RKAT iaitu peningkatan 6.62 peratus berbanding tahun 2024.
Menurut beliau, bilangan unit RKAT yang telah diselenggara pula adalah sebanyak 19,978 unit pada tahun 2023 dan 20,954 unit pada 2024.
“Bagi tahun 2025, Mindef menyasarkan penyenggaraan 11,607 unit RKAT dapat diselesaikan. Mindef juga menyasarkan 55,622 unit RKAT akan melalui proses senggaraan menjelang tahun 2030,” katanya.
Tambah beliau, Mindef juga memberi perhatian kepada keperluan senggaraan 38 buah Sekolah dalam kem dan Perdana Menteri mengumumkan peruntukan khas RM20 juta bagi menaik taraf infrastruktur sekolah dalam kem.
Katanya, bagi golongan isteri askar pula, Mindef diperuntukkan RM10 juta untuk melaksanakan Program Ekonomi Madani sebagai ruang penjanaan pendapatan tambahan berasaskan pemindahan ilmu kepada Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) di kem-kem di seluruh negara.
Sslain itu, katanya, pelbagai program dilaksanakan bagi mempertingkatkan pencapaian akademik anak-anak anggota ATM termasuk program Simpanan Pendidikan Madani.
Kata beliau, inisiatif lain adalah program Sentuhan Elit SPM, program e-Perkasa SPM, program Protege dan program Penajaan Pengajian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) – KOSMO! ONLINE