fbpx
Lih Kang pada sesi Dewan Rakyat hari ini. FOTO JABATAN PENERANGAN

Dewan Rakyat: Malaysia miliki 323 pegawai penyelidik nuklear

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia ketika ini mempunyai seramai 323 pegawai penyelidik di Agensi Nuklear Malaysia dan 36 pegawai sains di Jabatan Tenaga Atom.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, mereka sedang berkhidmat dalam pelbagai bidang teknologi nuklear dan teknologi berkaitan.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 61 pegawai penyelidik memiliki kelulusan dalam bidang Sains dan Kejuruteraan Nuklear.

“Situasi ini mencerminkan komitmen berterusan negara dalam membangunkan kapasiti kepakaran tempatan bagi menyokong kemajuan teknologi nuklear secara selamat dan bertanggungjawab,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) apakah Malaysia sudah bersedia dalam menerokai penjanaan tenaga nuklear dan program kerjasama yang telah dijalinkan dengan agensi antarabangsa berkaitan dengan sains dan teknologi nuklear.

Terdahulu, Lih Kang berkata, kerajaan sedang meneroka tenaga nuklear sebagai antara pilihan utama dalam memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil, bersih dan boleh dipercayai.

Menurut beliau, kajian pra-kebolehlaksanaan berkaitan tenaga nuklear sebagai sumber penjanaan eletrik telah pun disiapkan dengan dapatan awal menunjukkan potensi besar tenaga nuklear untuk negara.

Tambah beliau, kerajaan Malaysia telah memeterai perjanjian bagi Kerjasama Strategik Nuklear Awam dengan Kerajaan Amerika Syarikat.

Jelas beliau, Kerjasama Strategik Nuklear Awam itu berperanan sebagai pemangkin kepada kerjasama jangka panjang dalam membangunkan keupayaan tenaga nuklear awam Malaysia secara selamat dan bertanggungjawab.

“Ia antara langkah selain daripada rangkaian kerjasama dengan China dan Russia yang dapat memperkukuh usaha Malaysia dalam membangunkan program tenaga nuklear bagi penjanaan elektrik secara terancang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI