PETALING JAYA – Dimalukan secara terbuka dengan fitnah kononnya hidup mewah hasil ditaja dan menerima gaji daripada lelaki berstatus ‘sugar daddy’, pelakon Ruhainies dengan beraninya bersumpah menafikan perkara tersebut.
Benar-benar serius mempertahankan maruahnya, pemilik nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 33, juga enggan secara mudah menerima permohonan maaf dan mahu mengheret individu terbabit kepada pihak berkuasa bagi mendapatkan keadilan.
“Saya tak maafkan. Saya mahu selesaikan di balai polis. Saya mahu buat laporan polis. Saya mahu jumpa awak. Awak cakap saya dapat elaun dari sugar daddy.
“Saya bersumpah demi Allah, saya tak pernah dibela oleh sugar daddy atau seangkatan dengan itu seumur hidup saya.
“Dari mana awak dapat fitnah itu dan awak menfitnah saya hari ini depan umum,” katanya menerusi perkongsian dalam Insta Story.
Hantaran dibuat susulan usahanya menjejaki seorang wanita dipercayai pemilik akaun laman sosial yang meninggalkan komen mengaitkannya dengan sugar daddy atau dibela seseorang untuk hidup mewah.
Ruhainies turut berkongsi tangkap layar perbualannya dengan wanita terbabit yang meminta maaf atas kekhilafan biarpun pada awalnya mendakwa akaunnya digodam.
“Okey dia dah respons. Akaun digodam katanya. Ada anak? Habis tu awak tulis di IG macam saya tiada keluarga. Mementingkan diri. DM nak cakap elok-elok tak nak balas. Saya nak jumpa, nak tahu dari mana dapat cerita sugar daddy tu.
“Senang betul buat duit ada orang bela. Siapa yang rasa saya ada sugar daddy boleh DM. Kita jumpa jom. Cakap tin kosong kuat sangat. Semua akaun palsu. Ini je baru jumpa akaun betul. Kita jumpa balai okey,” katanya.
Pada masa sama, pelakon drama Terjerat itu turut menasihatkan pihak berkaitan agar jangan menyimpan perasaan iri hati terhadap orang lain yang akhirnya memakan diri sendiri.
“Cuma nak pesan, hidup ini hati kena bersih. Tengok orang gembira hati jangan busuk.
“Mengigil tangan fikir nak fitnah apa supaya dapat matikan orang, tanpa sedar diri itu dah lama mati bila sakit hati tengok orang gembira.
“Jadi orang jangan malas, harap duit lelaki ye sister. Cari duit sendiri, upgrade diri supaya tak dengki tengok orang lain senang. Perangai kalau tak elok, bukan kata sugar daddy, orang gila pun tak nak,” ujarnya.
Semalam Ruhainies mendedahkan wajah seorang wanita yang didakwa memfitnahnya mendapat elaun bulanan selain meminta orang ramai membantu menjejaki individu tersebut agar mereka dapat bersemuka. – KOSMO! ONLINE