BEIJING – Pusat amaran tsunami China menyatakan hari ini bahawa ombak setinggi 30 sentimeter hingga 1 meter dijangka melanda bahagian pantai timur negara itu selepas gempa bumi berukuran 8.8 magnitud membadai Semenanjung Kamchatka, Russia.
“Berdasarkan keputusan amaran dan analisis terkini, Pusat Penasihat Tsunami Kementerian Sumber Negara menentukan bahawa gempa bumi telah mencetuskan tsunami. Ia diramal menyebabkan kerosakan di kawasan pantai tertentu di China,” katanya.
Sementara itu, pihak berkuasa di wilayah Sakhalin, Timur Jauh Russia mengisytiharkan darurat di Kepulauan Kuril Utara hari ini. Gelombang tsunami telah merosakkan bangunan dan menyebabkan banjir di rantau tersebut.
“Keadaan darurat telah diisytiharkan di daerah Kuril Utara, di mana gempa bumi dan tsunami berlaku hari ini,” kata pihak berkuasa Sakhalin dalam satu kenyataan.
Datuk Bandar Kepulauan Kuril, Alexander Ovsyannikov berkata, semua penduduk telah berpindah ke tempat selamat susulan tsunami yang menyebabkan banjir dan menghanyutkan bangunan.
“Semua orang telah dipindahkan. Terdapat masa yang mencukupi selama satu jam.
“Semua orang berada dalam zon keselamatan tsunami,” kata beliau pada mesyuarat krisis dengan pegawai.
Gempa bumi berukuran 8.8 magnitud di luar pantai Timur Jauh Russia awal hari ini adalah yang paling kuat di rantau itu sejak tahun 1952, dengan gegaran susulan berkemungkinan sehingga 7.5 magnitud, kata perkhidmatan pemantauan seismik serantau.
Antara negara lain yang turut mengeluarkan amaran tsunami termasuk Mexico, Ecuador, Peru dan Jepun. – AFP