fbpx
KEIR STARMER - Foto AFP

Britain mahu iktiraf negara Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menyatakan bahawa London akan mengiktiraf negara Palestin pada September depan sekiranya Israel meneruskan kekejamannya ke atas penduduk Gaza, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.

Namun, Starmer berkata, pengiktirafan itu tidak akan diberikan sekiranya Israel mengambil langkah substantif untuk menamatkan keadaan yang mengerikan di wilayah Palestin itu.

Starmer berkata, Israel juga mesti memenuhi syarat lain, termasuk bersetuju dengan gencatan senjata dan komited kepada keamanan jangka panjang yang memulihkan prospek penubuhan dua negara.

Syarat yang seterusnya adalah Israel perlu membenarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyambung semula pengedaran bekalan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Kerajaan Britain sebelum ini berkata, pengiktirafan perlu berlaku pada ketika ia boleh memberikan impak maksimum, sebagai sebahagian daripada proses damai.

Minggu lalu Perancis turut mengumumkan bahawa ia akan mengiktiraf negara Palestin secara rasmi pada September depan.

Ia merupakan negara kaya pertama daripada Kumpulan 7 (G7) yang berbuat demikian.

Ketika sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat Kabinet tergempar, Starmer berkata, beliau mengumumkan rancangan itu ketika ini disebabkan keadaan yang tidak dapat diterima di Gaza.

“Kebarangkalian bagi penyelesaian dua negara juga semakin berkurangan,” kata Starmer ketika menjelaskan mengapa beliau mahu membuat pengiktirafan tersebut. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI