JOHOR BAHRU – Aktiviti perniagaan pusat cuci kereta di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) kini diklasifikasikan sebagai aktiviti perniagaan berisiko tinggi.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad berkata, keputusan menukar kategori itu dibuat susulan banyak kesalahan yang dilakukan oleh pengusaha pusat cuci kereta di tapak.
Beliau berkata, pengusaha perlu memperkemas tempat perniagaan, memastikan sistem rawatan air kumbahan (SRAK) berfungsi dengan baik dan tidak merosakkan jalan.
“Pengusaha juga perlu menyediakan daftar pekerja untuk disemak oleh anggota bertugas sama ada daripada pihak MBJB atau agensi penguatkuasaan lain yang terlibat.
“Sekiranya gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, tindakan akan diambil mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada selain lesen tidak akan diperbaharui atau digantung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, di sini hari ini.
Mengulas mengenai isu pusat cuci kereta yang hanya mencuci kenderaan warga Singapura sahaja, Mohd. Haffiz berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan meneruskan penguatkuasaan operasi.
“Terdapat 543 pusat cuci kereta berlesen di kawasan MBJB yang kebanyakannya menawarkan cucian ‘water wax’ berharga RM40 dan ke atas kepada warga Singapura.
“Mereka turut menolak kereta warga tempatan yang mahu cucian biasa. Tetapi kes ini tidak dapat dibuktikan dan tiada aduan rasmi diterima,” ujarnya.
Katanya, pada tahun lalu, sebanyak 53 premis pusat cuci kereta tidak berlesen telah diambil tindakan manakala pada tahun ini setakat Jun lalu sebanyak 33 buah premis tidak berlesen berkesan.