fbpx
Pengawal penyelamat membuat rondaan di pantai sepanjang Teluk Tokyo di Bandar Chiba, wilayah Chiba hari ini. - AFP

Amaran tsunami: Pekerja loji nuklear Fukushima dipindah 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TOKYO – Pekerja-pekerja loji nuklear Fukushima di timur laut Jepun dipindahkan hari ini selepas gempa bumi bermagnitud 8.7 di Timur Jauh Russia mencetuskan amaran tsunami di sekitar Pasifik.

“Kami telah memindahkan semua pekerja di Fukushima Daiichi,” kata jurucakap pengendali loji, TEPCO kepada AFP sambil menambah, tiada ‘isu luar biasa’ dilihat di tapak itu.

Agensi cuaca Jepun pada awalnya memberi amaran bahawa ombak diramal mencapai 1 meter, namun ia kemudian dinaik taraf kepada 3 meter yang lebih berbahaya.

Ia meliputi sepanjang jalan menyusuri pantai utara dan timur Jepun sehingga Wakayama, selatan Osaka, serta pulau-pulau kecil yang terpencil.

Selain itu, di Teluk Tokyo dan Teluk Osaka, ombak diramal setinggi 1 meter dan melanda antara pukul 10 pagi hingga 11.30 pagi (waktu tempatan).

Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran di platform X yang berbunyi: “Tsunami akan melanda berulang kali. Jangan masuk ke laut atau mendekati pantai sehingga amaran itu ditarik balik.”

Jurucakap tertinggi kerajaan, Yoshimasa Hayashi dalam sidang akhbar ringkas berkata: “Penduduk di kawasan di mana amaran telah dikeluarkan harus segera berpindah ke lokasi selamat seperti kawasan bertingkat atau bangunan pemindahan.”

Beberapa laluan kereta api di Jepun turut dihentikan susulan amaran, termasuk laluan pantai sekitar Chiba, Yokohama, Fujisawa dan menyusuri pantai Izu.

Sementara itu, Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS) pada mulanya berkata, gegaran gempa bumi berukuran 8.0 magnitud tetapi kemudian meningkatkan bacaan kepada 8.8.

Pusat Amaran Tsunami AS berkata, ombak melebihi 3 meter di atas paras air pasang mungkin berlaku di beberapa pantai Ecuador, barat laut kepulauan Hawaii dan Russia.

Ombak setinggi antara 1 meter hingga tiga meter juga diramal berlaku di beberapa pantai Chile, Costa Rica, Polinesia Perancis, Guam, Hawaii, Jepun dan kepulauan lain di Pasifik, katanya.

Gelombang sehingga 1 meter turut dijangka berlaku di tempat lain termasuk Australia, Colombia, Mexico, New Zealand, Tonga dan Taiwan. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI