fbpx
Aktiviti penyamaran warga India ini berjaya dipatahkan hasil tindakan pantas Unit Pemantau AKPS KLIA.

9 warga India ditahan di KLIA2, taktik tukar baju tak menjadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Taktik licik sekumpulan warga asing yang cuba menyamar sebagai penumpang baharu selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) semalam berjaya digagalkan.

Cubaan itu dipatahkan hasil tindakan pantas Unit Pemantau Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Menurut kenyataan AKPS, sembilan warga India termasuk lapan lelaki dan seorang wanita dikesan menukar pakaian di kawasan transit bagi mengelak dikenali sebelum cuba menyusup semula ke dalam barisan pemeriksaan imigresen seolah-olah baru mendarat.

Katanya, mereka dipercayai berbuat demikian selepas diarahkan menjalani pemeriksaan lanjut di Pejabat Operasi Imigresen.

“Bagaimanapun, tindakan pantas pasukan pemantau berjaya menahan kesemua suspek sebelum sempat melepasi kawalan kaunter masuk imigresen.

“Hasil pemeriksaan terhadap 270 warga asing, 13 individu telah ditahan dan ditolak masuk ke negara asal masing-masing melibatkan sembilan warga India dan empat lelaki warga Pakistan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, AKPS KLIA akan memperketat kawalan di kawasan transit termasuk meningkatkan rondaan, memperluas rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) serta melaksanakan prosedur pengesanan lebih ketat bagi mengelak taktik penyamaran berulang.

Pihak AKPS turut menyeru komuniti KLIA termasuk kakitangan operasi dan pengendali penerbangan agar segera melaporkan sebarang tingkah laku atau pergerakan mencurigakan melibatkan penumpang warga asing.

“Sokongan dan kewaspadaan bersama amat penting bagi memastikan keselamatan serta integriti pintu masuk negara terus terpelihara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI