BANGKOK – Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh, manakala dua lagi cedera selepas sebuah kilang bunga api meletup di tengah Thailand, kata polis hari ini ketika usaha menyelamat mangsa masih diteruskan.
Letupan berlaku sekitar pukul 11 pagi (waktu tempatan) di daerah Mueang, wilayah Suphan Buri.
Gambar dikongsikan oleh perkhidmatan penyelamat tempatan memaparkan serpihan bangunan runtuh selepas hangus dijilat api.
“Sembilan orang disahkan maut, manakala dua lagi sedang menerima rawatan di hospital berdekatan.
“Kami sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca letupan,” kata ketua polis tempatan, Wanchai Khaoram kepada AFP.
Angka korban meningkat kepada sembilan daripada empat orang.
Pada tahun lalu, sekurang-kurangnya 23 orang terkorban dalam kejadian serupa di wilayah sama. – AFP