fbpx
Gambar hiasan

5,800 pembayar cukai dikesan gagal patuh, RM484 juta pendapatan tidak dilapor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CYBERJAYA – Sebanyak 5,800 pembayar cukai dikenal pasti sebagai gagal mematuhi peraturan cukai susulan semakan menerusi sistem e-Invois yang mula dikuatkuasakan sejak 1 Ogos tahun lalu.

Pengesanan itu dibuat hasil pemantauan aktif oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) melalui sistem MyInvois, yang mendapati pembayar cukai terbabit tidak mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dalam tempoh yang ditetapkan.

Menurut kenyataan LHDN, hasil tindakan awal pematuhan yang diambil, sebanyak RM484 juta pendapatan yang tidak dilaporkan telah berjaya dikesan melibatkan tahun-tahun taksiran ke belakang.

“Ia sekali gus menyumbang kepada kutipan cukai tambahan berjumlah RM82 juta kepada negara.

“LHDN sentiasa memantau secara aktif data pembayar cukai yang telah disahkan dalam sistem MyInvois bagi memastikan pematuhan cukai dapat dilaksanakan secara sukarela dan berterusan, selaras dengan prinsip keadilan dalam sistem percukaian negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

LHDN berkata, pembayar cukai disarankan untuk sentiasa mengemas kini rekod cukai mereka dan memastikan pematuhan sepenuhnya bagi mengelak sebarang tindakan penguatkuasaan.

Jelasnya, setakat hari ini, lebih 413 juta e-Invois telah dikeluarkan melibatkan lebih 83,000 pembayar cukai.

Ini termasuk mereka yang tergolong dalam fasa pertama hingga ketiga yang diwajibkan melaksanakannya, serta fasa keempat dan kelima secara sukarela.

LHDN memaklumkan, angka tersebut menunjukkan tahap penerimaan yang memberangsangkan terhadap sistem percukaian digital negara, yang turut membantu meningkatkan ketelusan dan kecekapan pelaporan cukai.

“LHDN mengingatkan pembayar cukai yang telah tamat tempoh kelonggaran agar melaksanakan e-Invois sepenuhnya selaras dengan garis panduan yang ditetapkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI