LENGGONG – Tiada isu ketirisan atau penyelewengan melibatkan aset Tentera Darat Malaysia (TDM) berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) baru-baru ini yang membangkitkan soal kelewatan pembekalan kereta perisai.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan sebaliknya berkata, hal berkenaan hanya berkaitan denda yang masih belum dikutip oleh Kementerian Pertahanan ekoran kelewatan pembekalan kenderaan perisai Gempita kepada TDM.
“Tidak ada apa sebarang apa orang kata ketirisan atau penyelewangan. Hanya sekadar prosedur yang mungkin tidak dipatuhi sepenuhnya dalam pengurusan kontrak ini,” katanya semasa hadir ke latihan Serangan Akhir dan Majlis Penutup Eksesais Keris Strike Siri 30/2025 di Felda Lawin Selatan di sini hari ini.
Mengikut LKAN 2/2025, lebih RM160 juta denda masih belum dikutip oleh Kementerian Pertahanan ekoran kelewatan oleh syarikat pembekal.
Laporan itu turut menyatakan kelewatan pembekalan kenderaan perisai Gempita telah menyebabkan loss of use kerana TDM tidak dapat menggunakan aset tersebut dalam tempoh seperti yang dirancang. – KOSMO! ONLINE