KUANTAN – Kawalan ketat yang dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan negara berjaya mengekang kes kecurian bangkai kapal perang apabila tiada lagi kes direkodkan sejak dua tahun lalu.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, rondaan dilakukan secara berkala di kawasan bangkai kapal perang dalam perairan negara bagi memastikan ia tidak diceroboh pencari besi buruk.
“Kita boleh katakan jumlah kes adalah sifar kerana penguatkuasaan dijalankan secara berterusan. Bot dan kapal peronda Maritim Malaysia sentiasa melakukan rondaan di lokasi bangkai kapal.
“Kes terakhir dicatatkan berlaku di Johor pada tahun 2023, dan sejak itu tiada lagi aktiviti pencerobohan dikesan,” katanya. selepas melancarkan program Sekolah Angkat Madani Maritim Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Baging di sini hari ini.
Menurut Rosli, langkah penguatkuasaan ketat itu turut menarik minat agensi maritim luar negara yang ingin mengetahui pendekatan Malaysia dalam melindungi bangkai kapal perang bersejarah.
“Kita pernah menahan beberapa pihak sebelum ini dan merampas besi buruk yang dipercayai dicuri dari tapak bangkai kapal.
“Antara kes yang pernah berlaku termasuk penahanan sebuah kapal korek berdaftar asing yang disyaki mencuri keluli dan aluminium berkualiti tinggi dari bangkai kapal Perang Dunia Kedua, HMS Repulse dan HMS Prince of Wales di perairan Pahang,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai program Sekolah Angkat Madani, Rosli berkata SMK Sungai Baging dipilih kerana kedudukannya yang strategik berhampiran Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di Sungai Ular, di sini. – KOSMO! ONLINE