fbpx
SELANGOR menggayakan jersi baharu berwarna hitam ketika menentang Asia Warriors dalam aksi persahabatan kelmarin. - SELANGOR FC

Selangor belum cukup bagus jumpa JDT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGENDALI Selangor FC, Katsuhito Kinoshi bimbang dengan prestasi anak-anak buahnya selepas bergelut merobek gawang pasukan veteran, Asia Warriors pada aksi persahabatan apabila hanya mampu seri tanpa jaringan di Stadium MB Petaling Jaya kelmarin.

Menurut Kinoshi, masih banyak kerja rumah perlu dilakukan pasukannya sebelum mengharungi aksi pembuka tirai Liga Malaysia (Liga M) bertemu gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan Piala Sumbangsih, 8 Ogos ini.

Kinoshi berkata, mereka kini kesuntukan masa untuk membentuk strategi ampuh dalam usaha membawa trofi berprestij itu ke bumi Selangor buat kali pertama dalam tempoh 15 tahun.

“Saya tidak gembira dengan keputusan perlawanan ini. Secara peribadi, saya lihat pasukan perlu bekerja lebih keras dan menggandakan usaha dalam sesi latihan.

“Namun, situasi perlawanan ini adalah berbeza dengan aksi kompetitif sebenar kerana kami menukar ramai pemain.

“Cuma ada beberapa kelemahan individu perlu diperbaiki dan kami sekarang sudah kesuntukan masa (bertemu JDT) dalam tempoh kurang dua minggu,” katanya selepas tamat perlawanan.

Mengulas lanjut, pengendali import dari Jepun itu mengakui pasukan masih lagi dalam fasa keserasian dengan beberapa pemain baharu memandangkan mereka baru sahaja melaporkan diri minggu lalu.

“Saya tidak boleh katakan berapa peratus pasukan sudah bersedia untuk mengharungi aksi Liga M tetapi buat masa ini, kami tidak cukup bagus.

“Antara aspek yang perlu kami tekankan adalah jentera serangan dan cara untuk membuka ruang selain cipta peluang bagi mendapatkan gol,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI