SEREMBAN – Seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah bernilai RM1,000 pada November tahun lalu.
Tertuduh, Faizul Azizin Abdul Wahid, 34, yang bertugas di Unit Operasi Bahagian Penguat Kuasa JPJ Negeri Sembilan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai Pembantu Penguat Kuasa JPJ KP 19 telah secara rasuah memperoleh suapan RM1,000 daripada seorang individu lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu Toyota Hiace yang telah tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan tidak lulus pemeriksaan berkala Puspakom.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah menerima suapan iaitu wang berjumlah RM1,000 melalui pindahan secara dalam talian melalui akaun bank pihak lain sebagai upah untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang individu lelaki sama atas kesalahan sama.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan pada 2 hingga 5 petang pada 12 November 2024 di dua lokasi sekitar Seremban iaitu di Kilometer 273.4 Lebuh Raya Utara Selatan (arah Selatan) dan di hadapan Stesen KTM Senawang di sini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Zainab Yahaya manakala tertuduh diwakili
Peguam, Che Muji Che Noh.-KOSMO! ONLINE