KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kes buli membabitkan pelajar sekolah menengah di sini.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada ibu mangsa sekitar pukul 8 malam pada Jumaat lalu.
“Bagaimanapun, pengadu telah menarik balik laporan pada keesokan harinya dan siasatan tidak diteruskan.
“(Perkara tersebut) diselesaikan di peringkat sekolah bersama ibu bapa mangsa dan pelaku,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Sebelum ini, tular satu klip video memaparkan seorang remaja dibuli sambil diperhatikan beberapa pelajar lain dipercayai berlaku di dalam tandas sebuah sekolah, baru-baru ini.
Rata-rata orang ramai mengecam perbuatan tersebut selain menyeru Polis Diraja Malaysia untuk mengambil tindakan. – KOSMO! ONLINE